Suara Anak Jati Pitas

Suara Anak Jati Pitas

UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA PESTA BENGKOKA PITAS 2009 DI DATARAN BENGKOKA, PITAS PADA 16 MEI 2009

Marilah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin-Nya, sekali lagi kita berkesempatan untuk menghadiri sambutan Pesta Bengkoka 2009. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas undangan bagi saya merasmikan majlis yang penuh warna-warni ini.

Saya berasa gembira disebabkan Pesta Bengkoka telah tersenarai dalam kalendar pelancongan negeri. Ini bermakna Kerajaan Negeri telah mengiktiraf Pesta Bengkoka tidak hanya sebagai perayaan peringkat daerah, tetapi sudah mencapai status perayaan peringkat negeri.

Tema yang dipilih pada tahun ini iaitu, “Pitas, Daerah Baru Pelancongan”, sememangnya amat bertepatan bagi menonjolkan lebih banyak keunikan dan keindahan alam semulajadi serta kepelbagaian etnik Daerah Pitas yang boleh dijadikan sebagai potensi dan daya tarikan utama pelancongan. Saya yakin, dengan kerjasama padu antara penduduk Daerah Pitas dan Pejabat Daerah serta Lembaga Kebudayaan Sabah, usaha bagi merealisasikan Pitas sebagai daerah baru pelancongan di negeri ini pasti akan menjadi kenyataan.

Saya juga memuji usaha penganjur yang mengadakan pesta ini serentak dengan sambutan Pesta Kaamatan. Saya percaya, gabungan kedua-dua acara ini akan mewujudkan suasana lebih harmoni, muhibbah, dan saling hormat-menghormati serta saling memahami antara masyarakat pelbagai etnik dan budaya.

Daerah Pitas kini semakin rancak dengan banyak program pembangunan, sama ada yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Usaha-usaha ini jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana daerah di negeri ini, lebih-lebih lagi Daerah Pitas, daripada menikmati arus pembangunan perdana. Kerajaan benar-benar komited untuk membawa pembangunan yang lebih menyeluruh di Daerah Pitas dengan memberi fokus terhadap usaha-usaha membasmi kemiskinan dan seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat.

Bagi mencapai matlamat ini, Daerah Pitas telah dipilih sebagai salah satu kawasan tumpuan bagi pembangunan agropolitan, sebuah program pembangunan mega yang bersifat holistik dengan fokus kepada beberapa program pertanian yang berdaya saing serta mampu menjamin kehidupan lebih baik kepada rakyat miskin. Program-program peningkatan ekonomi seperti tanaman getah dan akuakultur di samping bantuan rumah dan kemudahan-kemudahan asas supaya penduduk dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik dan lebih selesa. Untuk itu, sebanyak RM100 juta yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembukaan ladang getah, selain RM120 juta lagi bagi pembinaan rumah serta kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, air dan elektrik.

Saya yakin dan percaya bahawa semua ini akan mampu membawa perubahan kepada kehidupan rakyat. Bagaimanapun, usaha ini juga tidak akan berjaya jika rakyat sendiri tidak memberikan sokongan, kerjasama atau melibatkan diri bagi menjayakan program-program pembangunan ini. Hakikatnya, perubahan ini bukanlah slogan politik, tetapi inilah komitmen, keikhlasan dan iltizam kita dalam memajukan negeri dan membela nasib rakyat.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi dan peruntukan khas RM1 bilion, Daerah Pitas adalah antara daerah yang menerima peruntukan paling besar daripada kerajaan. Pada tahun ini sahaja sebanyak lima (5) buah jalan utama serta projek bekalan air di daerah ini dengan kos mencecah hampir RM40 juta telah diluluskan. Inilah komitmen sebenar Kerajaan Barisan Nasional yang ingin memastikan kepentingan rakyat di seluruh negeri khususnya di Daerah Pitas ini, terus mendapat pembelaan, sesuai dengan konsep yang ditekankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri, iaitu “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Dalam majlis ini juga, saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Kabinet Negeri telah meluluskan pewujudan Majlis Daerah Pitas. Saya percaya, dengan adanya Majlis Daerah sendiri, maka Pekan Pitas akan dapat ditadbir urus dengan lebih berkesan serta berupaya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat berbilang etnik dan budaya di kawasan ini. Pada masa yang sama, saya berharap kakitangan Majlis Daerah Pitas akan sentiasa meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti demi memastikan Daerah Pitas menjadi salah sebuah daerah penting yang akan menyumbang ke arah kemajuan dan kemakmuran untuk negeri yang tercinta ini.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Pesta Bengkoka 2009. Saya percaya, pesta ini akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat dan menjana kemakmuran khususnya kepada rakyat di kawasan ini.

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya merasmikan Pesta Bengkoka 2009.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Suara Anak Jati Pitas

Followers

Komuniti Utara Sabah

Jauhi Politik Wang

Jauhi Politik Wang

BlogMalaysia.com